Tuesday, June 3, 2008

BLOG HANYA SATU!


Aku tak tahu nak posting apa kat blog aku ni. Jadi aku saja letak karikatur yang diambil dari dalam buku Blog Blogger Blogging. Karikatur ni adalah hasil karya Jonos atau Nor Azlin Ngah dari Al-Ameen Serves Holdings Sdn. Bhd yang menerbitkan buku aku tu. Kalau nak lihat banyak lagi hasil karya Jonos anda boleh ke sini: Klik Di Sini


Monday, February 4, 2008

"MENGINTAI JEJAK USAHAWAN SIBER"

Burung Jentayu gagah di awan,
Batu gemala penghias mahkota;
Tepak sirih di atas puan,
Izinkan saya membuka bicara.


“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”

Menerusi dua judul buku terdahulu, saya cuba menyalurkan pelbagai informasi berguna kepada bakal usahawan internet yang mencari panduan bagaimana memanfaatkan komputer dan internet khususnya bertujuan menghasilkan pulangan.

Menerusi buku-buku itu para pembaca boleh mendapat banyak idea bagaimana menggunakan komputer dan internet untuk memajukan perniagaan mereka.

Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, memberi panduan bagaimana membina sebuah perniagaan di internet. Kehadiran buku itu di pasaran telah membuka mata dan minda masyarakat bahawa sebenarnya wujud satu peluang bagi semua orang, tidak kira apakah latar belakang mereka.

Mereka mampu memiliki sebuah perniagaan yang mudah dikendalikan, bermodal rendah dan menguntungkan. Kejayaan hanya boleh diraih andai mereka melakukannya dengan betul mengikut panduan yang diberikan.

Blog, Blogger, Blogging pula memfokus kepada satu lagi peluang dan ruang untuk usahawan-usahawan internet memanfaatkan teknologi maklumat menerusi blog. Membina blog bermakna membina komuniti. Membangunkan sebuah blog yang dirancang baik mampu menghasilkan pulangan dalam pelbagai bentuk kepada blogger.

Setelah melihat sambutan menggalakkan yang diterima daripada para pembaca ke atas kedua-dua buku tersebut, telah mendorong saya menghasilkan sebuah lagi buku yang kali ini khusus bertujuan memotivasikan pembaca supaya segera bangun membuka komputer masing-masing dan segera bertindak membina perniagaan internet mereka sendiri.


"Mengintai Jejak Jutawan Siber"

Hamid dari Kuala Terengganu, adalah salah seorang peserta kursus membina perniagaan internet yang saya kendalikan.

“Saya telah membeli dan membaca buku tuan, Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, mampukah saya juga menjadi seorang jutawan?”

Peserta-peserta lain yang mendengar pertanyaan itu berderau tertawa. Lucukah?

Kemudian seorang peserta lain bangun dan bertanya satu lagi soalan.

“Saya telah membeli sebuah buku yang membongkar rahsia-rahsia jutawan internet, adakah perniagaan internet satu industri yang sangat hebat dan mampu melahirkan ramai jutawan?”

Saya bertanya kembali kepada semua peserta kursus.

“Masihkah kalian ingat program TV yang sangat popular satu ketika dahulu Who Wants To Be A Millionaire? Adakah peserta-peserta program yang berimpian tinggi ingin menjadi jutawan itu semua dijanjikan oleh penganjur pasti akan menjadi jutawan?”

Semua peserta akan diuji dengan soalan-soalan yang merangkumi pelbagai topik dari pengetahuan am, sejarah, sukan, geografi, hiburan dan sebagainya. Peserta yang menjawab soalan dengan tepat akan diberikan markah tetapi bagi peserta yang gagal memberikan jawaban yang betul mereka berpeluang diberikan talian hayat.

Mereka diberikan klu atau pembayang dan peluang sekali lagi untuk menjawab.

Mereka yang membina perniagaan dianggap beruntung jika mempunyai talian hayat. Namun lazimnya di dalam apa juga bidang perniagaan amat jarang sekali hendak menemukan talian hayat.

Sebaliknya anda boleh menemui berita-berita di akhbar ramai ahli-ahli perniagaan yang menghabiskan hayat mereka kerana mengalami kerugian. Ini bermakna setiap ahli perniagaan perlu menanggung risiko. Risikonya ialah sama ada perniagaan mereka untung atau rugi.

Senario yang sama juga berlaku di dalam dunia perniagaan internet. Perniagaan internet bukanlah skim cepat kaya. Perniagaan internet bukan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit seperti yang diharamkan oleh kerajaan baru-baru ini. Perniagaan internet sama seperti perniagaan lain di mana anda perlu menjual barang atau perkhidmatan. Cuma di sini anda menggunakan internet.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan tidak pernah dijanjikan dengan kejayaan sehingga mencapai tahap jutawan. Mereka perlu bekerja keras untuk mencapai tahap jutawan. Mereka perlu melalui pelbagai proses yang mematangkan mereka menempuhi ranjau dan dugaan. Mereka perlu menghadapi persaingan.

Realiti dunia perniagaan tradisional hari ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Hanya mereka yang berjaya mengatasi halangan, kreatif dan berinovasi sahaja biasanya akan memperolehi kejayaan.

Anda pasti bersetuju dengan jawaban saya.

“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”

Sunday, November 11, 2007

Hari Pertama Yang Keliru

Hari pertama aku disumbatkan ke dalam sel 10, hari keempat Ramadhan. Oleh orang yang paling aku sayangi sendiri. Kerana apa? Hanya kerana dia tidak dapat menerima hakikat. Walau segunung sumpah akan taat setia namun akhirnya teruji jua dan tersungkur. Banyak hikmah yang aku dapat. Meskipun tidur sebantal namun mimpi tetap lain-lain.

Aku akan bangun dari keruntuhan ini. Aku akan buktikan bahawa aku tidak pernah mengharapkan walau satu sen darinya. Segala yang telah kuberi hanya Tuhan yang tahu.

Aku masih keliru namun aku percaya the truth will be prevailed in the court!

Wednesday, September 26, 2007

"Apabila Takdir Sudah Ditentukan!"

Aku redha dengan ujian dariNya apabila aku sedar bahawa itu adalah takdir dariNya. Meski ujian itu terlalu pahit dan getir untuk dihadapi namun aku yakin wujud hikmah yang tidak terduga bakal ku perolehi.

Mengenang masa lalu tidak akan membawa kita ke mana andai yang dikenang itu tiada pengajarannya. Hidup untuk hari esok memerlukan aku membawa bekal dari pengalaman yang pernah ku lalui. Yang pergi biarkan pergi meskipun aku tidak akan berusaha mencari pengganti kerana aku yakin segalanya telah ditakdirkan!

Memori luka dari Sel 10, IPD Kuala Selangor (16 September 2007 - 20 September 2007)

Saturday, July 7, 2007

"Gila-gila Kongsikang"

Bekerja di tapak pembinaan telah membuka peluang yang luas untuk bergaul pekerja asing yang terdiri dari pekerja dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan lain-lain. Secara tidak langsung mendekatkan diri mengenali diri dan budaya mereka.

Apabila duduk bersantai di kantin Hassan (kantin milik kepala pekerja Indonesia), banyak cerita boleh didengar. Selain berpeluang menonton sinetron kadangkala halwa telinga ikumandangkan dengan lagu-lagu dangdut yang kadangkala membuat kaki bikin bergoyang sendiri.

Malah yang lebih menarik, cerita-cerita menarik ini kadangkala membuatkan kita tertawa, merasa sedih dan kadangkala kita merasakan kita juga sudah menjadi sebahagian dari mereka.

Sepanjang aku berada di site yang satu ini, telah banyak cerita yang telah kukompilasikan untuk dijadikan manuskrip sebuah buku. Insya Allah jika ada rezeki buku ini akan terbit sedikit masa lagi. Tajuk buku yang sedang bermain di fikiran tika ini ialah "Gila-gila Kongsikang". Tapi ia masih bergantung kepada penerbit, almaklum hanya penerbit sahaja yang lebih arif bagaimana menjadikan buku bestsellers.

Khabarnya buku kedua Blog, Blogger, Blogging mendapat sambutan menggalakkan seaktu Pesta Buku Antarabangsa baru-baru ini. Alhamdulillah.

Wednesday, May 9, 2007

Lokasi Pertama Telah Selesai

Lokasi pertama Kursus Klik Kaya Di eBay telah berjaya disempurnakan pada 6hb. Mei 2007 di Boardroom, Level 2, Hotel Hilton Petaling Jaya.

Lokasinya sangat menarik, bersebelahan kolam renang. Peserta-peserta kursus boleh sesekali 'cuci mata'! Ramai juga mat-mat dan minah salleh yang berjemuran di pinggiran kolam renang.

Bagaimana pun saya lihat peserta kursus lebih tertarik dan memberikan lebih perhatian kepada kursus. Pertama mungkin kerana tertarik dengan banyak petua-petua baru yang sempat saya lontarkan atau mungkin kerana salah seorang peserta kursus ketika itu adalah Imam Masjid Negara Kuala Lumpur! Malu beb!

Ustaz Zulkifli Salleh merupakan Imam Masjid Negara. Beliau pernah belajar di Arab Saudi. Ketika beliau mendengar saya bersiaran di radio IKIM.FM tempoh hari terdetik di sanubarinya mengapa tidak beliau memulakan satu bisnes di internet dengan mensasarkan pasaran dunia Arab.

Ustaz Zulkifli melihat peluang terbentang di hadapan mata. Kebanyakan orang Arab tidak fasih atau buta Bahasa Inggeris. Mereka melayari internet berbahasa Arab sahaja. Oleh kerana Ustaz Zulkifli berkemahiran tinggi dan menguasai Bahasa Arab, mengapa tidak beliau membina sebuah laman web berbahasa Arab dan menjual sesuatu yang menarik perhatian warga Arab?

Seperti kata Ustaz Zulkifli, pernah satu ketika seorang Arab membeli sebuah pasu tembikar yang murah di sini dengan harga yang tinggi. Ia satu idea yang baik. Saya mengesyorkan agar Ustaz Zulkifli segera membina laman web pertama beliau dengan menggunakan perisian percuma Bluevoda.

Ramai peserta tertarik dengan perisian percuma ini. Mereka tidak menyangka sebenarnya membina sebuah laman web sangat mudah dan menarik dengan Bluevoda. Malah menyediakan butang Buy Now juga sangat mudah dengan menggunakan perisian ini. Tidak perlu lagi menghadiri kursus yang mahal sehingga mencecah RM800! Di dalam kursus yang saya kendalikan ini para peserta mendapat lebih dari apa yang mereka harapkan!

Sama-samalah kita nantikan kelahiran usahawan internet minyak atar!