Sunday, April 22, 2007

Menunggu Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan

Sekarang ni tengah kecoh pasal pelaburan di internet. Majlis Fatwa sudah mengeluarkan fatwa menyatakan HARAM hukumnya melabur di internet kerana sumber pelaburannya tidak jelas.

Maka ramailah para pelabur skim pelaburan di internet sekarang ini yang sedang panas punggung. Khabarnya ada yang rugi puluhan ribu ringgit dalam sekelip mata gara-gara kerajaan bertindak tegas terhadap penganjur skim ini.

Ketika ditemu ramah oleh Ustaz Zamri Zainal Abidin di radio IKIM.FM tempoh hari saya telah ditanya tentang pendapat saya mengenai skim pelaburan di internet ini. Dari situ saya melihat sememangnya terdapat perancangan yang teratur untuk menyekat skim pelaburan tersebut. Jawaban saya mudah:

"Skim pelaburan di internet itu mempunyai 100% risiko tetapi pulangannya 300%. Jika pelabur memikirkan tentang risiko maka sudah tentu mereka tidak akan melabur. Tetapi jika mereka memikirkan tentang pulangan sudah tentu mereka akan melabur sebanyak yang boleh tetapi mereka harus ingat pelaburan mereka adalah berisiko 100%!"

Malam kelmarin saya berkesempatan minum bersama seorang jiran taska isteri saya di kedai mamak. Teman seorang ini sedang sibuk dengan bisnes internet Em-Pay. Sempat juga beliau mempromosikannya bisnes itu kepada saya. Malah saya diberi risalah tebal percuma untuk dibaca di rumah.

Saya hanya menyatakan Insya Allah. Saya melihat sekarang ini sudah menjadi satu trend untuk orang ramai di Malaysia cenderung mencari sumber pendapatan sampingan. Sudah tentu mereka mencari peluang yang mudah dan murah. Juga menjanjikan pulangan lumayan tanpa bekerja keras. Seperti teman tadi, beliau sedang menunggu beberapa bulan lagi untuk menjadi jutawan internet!

Saya tidak mahu mengulas tentang bisnes yang beliau jalankan. Apa yang saya ingin ulas ialah tentang kecenderungan ramai orang sudah mula terbuka mata melihat internet sebagai peluang buat duit. Pada saya sebenarnya tiada jalan mudah untuk menjadi jutawan internet. Mereka mesti bekerja keras. Dan yang paling penting di dalam bisnes internet ini ialah PROMOSI. 80% dalam usaha mencapai kejayaan dalam perniagaan internet ini ialah dengan menjalankan pelbagai aktiviti promosi.

Seperkara yang harus diingat ialah, kos menjalankan aktiviti promosi inilah yang menjadi satu beban kepada usahawan kecil. Oleh kerana itulah saya memilih satu sistem yang dapat mengelakkan saya membuat promosi. Saya memilih eBay.com. Semua orang sudah tahu eBay adalah satu organisasi yang besar. Saya tidak perlu lagi mempromosikan bisnes saya kerana pelanggan sudah sedia menunggu produk yang saya senaraikan di eBay!

Tentang teman tadi, beliau sempat memperlihatkan perasaan kecewanya dengan tindakan kerajaan terhadap skim pelaburan internet ini. Katanya kerajaan dan Majlis Fatwa hanya melihat kuman di seberang lautan sedangkan gajah di depan mata tidak nampak. Katanya mengapa Majlis Fatwa sampai kini lemah lesu dan longlai untuk mengisytiharkan status pelaburan ASB, ASN, dan banyak lagi saham amanah sebagai HARAM atau sebaliknya. Jika HALAL mengapa sehingga kini tidak wujud Lembaga Pengawasan Syariah terhadap pelaburan itu?

Juga beberapa ekor gajah yang Majlis Fatwa tidak lihat ialah MAGNUM, TOTO dan DA MA CAI! Mengapa sehingga kini tiada tindakan ke atas bisnes perjudian ini? Apakah ia HALAL? Apakah jumlah pelaburan yang hangus di pusat perjudian ini sedikit jika dibandingkan jumlah pelaburan di skim pelaburan internet?
"
Saya cabar Najib declare status ASB, MAGNUM dan TOTO" Teman tadi menghempas tangan ke meja dengan geram. Saya hanya terdiam.