Tuesday, April 17, 2007

Pilih: Jurutera Atau eBay Powerseller


Saya ditanya oleh seorang sahabat: Kamu nak jadi jurutera atau eBayer Powerseller? Satu soalan cepu emas!

(Sedang mengawasi aktiviti pembinaan di tapak projek)

Sebenarnya saya suka kedua-duanya sekali. Jurutera adalah satu profession yang sangat menarik dan mencabar. Kini telah lebih dua belas tahun saya bekerja sebagai seorang jurutera dengan beberapa buah syarikat seperti bersama pemaju perumahan, kontraktor, syarikat perunding kejuruteraan, pengendali pelabuhan dan terkini bersama sebuah syarikat pembinaan Bumiputera Kelas A.

Terlalu banyak pengalaman yang telah ditimba. Yang menarik di sini ialah penghormatan dan pengiktirafan sebagai seorang professional yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat terhadap seorang jurutera adalah sesuatu yang membanggakan.

Meskipun begitu, dalam soal kewangan, seorang jurutera tidak mempunyai kebebasan. Maksud saya tiada kebebasan untuk memperolehi pendapatan tanpa had.

Ini berbeza apabila saya menjadi eBayer. Satu kepuasan dan perasaan yang amat indah dan menyeronokkan dirasai apabila barang yang kita jual di eBay mendapat bidaan dari pembeli yang datangnya dari seluruh dunia. Yang paling menarik ialah untung yang diperolehi sungguh luarbiasa.

Sesiapa yang belum mencuba pasti merasa hairan bagaimana kita boleh menjana wang dari eBay. Sebenarnya ia sangat mudah dan tidak memerlukan modal yang besar. Yang penting kita tahu apa yang kita buat. Tahu selok-belok dan trick dalam permainan eBay ini adalah satu perkara yang amat penting.

Dalam soal kewangan, saya lebih seronok bersama eBay daripada makan gaji sebagai seorang jurutera. Saya boleh memperolehi keuntungan separuh dari gaji saya sebulan hanya dengan menjual produk tertentu di eBay.

Saya bebas bekerja dari rumah, tiada tanggungjawab dan beban tugas dari majikan. Tiada dateline, tiada kesesakan dan tiada tol!