Wednesday, May 9, 2007

Lokasi Pertama Telah Selesai

Lokasi pertama Kursus Klik Kaya Di eBay telah berjaya disempurnakan pada 6hb. Mei 2007 di Boardroom, Level 2, Hotel Hilton Petaling Jaya.

Lokasinya sangat menarik, bersebelahan kolam renang. Peserta-peserta kursus boleh sesekali 'cuci mata'! Ramai juga mat-mat dan minah salleh yang berjemuran di pinggiran kolam renang.

Bagaimana pun saya lihat peserta kursus lebih tertarik dan memberikan lebih perhatian kepada kursus. Pertama mungkin kerana tertarik dengan banyak petua-petua baru yang sempat saya lontarkan atau mungkin kerana salah seorang peserta kursus ketika itu adalah Imam Masjid Negara Kuala Lumpur! Malu beb!

Ustaz Zulkifli Salleh merupakan Imam Masjid Negara. Beliau pernah belajar di Arab Saudi. Ketika beliau mendengar saya bersiaran di radio IKIM.FM tempoh hari terdetik di sanubarinya mengapa tidak beliau memulakan satu bisnes di internet dengan mensasarkan pasaran dunia Arab.

Ustaz Zulkifli melihat peluang terbentang di hadapan mata. Kebanyakan orang Arab tidak fasih atau buta Bahasa Inggeris. Mereka melayari internet berbahasa Arab sahaja. Oleh kerana Ustaz Zulkifli berkemahiran tinggi dan menguasai Bahasa Arab, mengapa tidak beliau membina sebuah laman web berbahasa Arab dan menjual sesuatu yang menarik perhatian warga Arab?

Seperti kata Ustaz Zulkifli, pernah satu ketika seorang Arab membeli sebuah pasu tembikar yang murah di sini dengan harga yang tinggi. Ia satu idea yang baik. Saya mengesyorkan agar Ustaz Zulkifli segera membina laman web pertama beliau dengan menggunakan perisian percuma Bluevoda.

Ramai peserta tertarik dengan perisian percuma ini. Mereka tidak menyangka sebenarnya membina sebuah laman web sangat mudah dan menarik dengan Bluevoda. Malah menyediakan butang Buy Now juga sangat mudah dengan menggunakan perisian ini. Tidak perlu lagi menghadiri kursus yang mahal sehingga mencecah RM800! Di dalam kursus yang saya kendalikan ini para peserta mendapat lebih dari apa yang mereka harapkan!

Sama-samalah kita nantikan kelahiran usahawan internet minyak atar!