Monday, February 4, 2008

"MENGINTAI JEJAK USAHAWAN SIBER"

Burung Jentayu gagah di awan,
Batu gemala penghias mahkota;
Tepak sirih di atas puan,
Izinkan saya membuka bicara.


“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”

Menerusi dua judul buku terdahulu, saya cuba menyalurkan pelbagai informasi berguna kepada bakal usahawan internet yang mencari panduan bagaimana memanfaatkan komputer dan internet khususnya bertujuan menghasilkan pulangan.

Menerusi buku-buku itu para pembaca boleh mendapat banyak idea bagaimana menggunakan komputer dan internet untuk memajukan perniagaan mereka.

Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, memberi panduan bagaimana membina sebuah perniagaan di internet. Kehadiran buku itu di pasaran telah membuka mata dan minda masyarakat bahawa sebenarnya wujud satu peluang bagi semua orang, tidak kira apakah latar belakang mereka.

Mereka mampu memiliki sebuah perniagaan yang mudah dikendalikan, bermodal rendah dan menguntungkan. Kejayaan hanya boleh diraih andai mereka melakukannya dengan betul mengikut panduan yang diberikan.

Blog, Blogger, Blogging pula memfokus kepada satu lagi peluang dan ruang untuk usahawan-usahawan internet memanfaatkan teknologi maklumat menerusi blog. Membina blog bermakna membina komuniti. Membangunkan sebuah blog yang dirancang baik mampu menghasilkan pulangan dalam pelbagai bentuk kepada blogger.

Setelah melihat sambutan menggalakkan yang diterima daripada para pembaca ke atas kedua-dua buku tersebut, telah mendorong saya menghasilkan sebuah lagi buku yang kali ini khusus bertujuan memotivasikan pembaca supaya segera bangun membuka komputer masing-masing dan segera bertindak membina perniagaan internet mereka sendiri.


"Mengintai Jejak Jutawan Siber"

Hamid dari Kuala Terengganu, adalah salah seorang peserta kursus membina perniagaan internet yang saya kendalikan.

“Saya telah membeli dan membaca buku tuan, Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, mampukah saya juga menjadi seorang jutawan?”

Peserta-peserta lain yang mendengar pertanyaan itu berderau tertawa. Lucukah?

Kemudian seorang peserta lain bangun dan bertanya satu lagi soalan.

“Saya telah membeli sebuah buku yang membongkar rahsia-rahsia jutawan internet, adakah perniagaan internet satu industri yang sangat hebat dan mampu melahirkan ramai jutawan?”

Saya bertanya kembali kepada semua peserta kursus.

“Masihkah kalian ingat program TV yang sangat popular satu ketika dahulu Who Wants To Be A Millionaire? Adakah peserta-peserta program yang berimpian tinggi ingin menjadi jutawan itu semua dijanjikan oleh penganjur pasti akan menjadi jutawan?”

Semua peserta akan diuji dengan soalan-soalan yang merangkumi pelbagai topik dari pengetahuan am, sejarah, sukan, geografi, hiburan dan sebagainya. Peserta yang menjawab soalan dengan tepat akan diberikan markah tetapi bagi peserta yang gagal memberikan jawaban yang betul mereka berpeluang diberikan talian hayat.

Mereka diberikan klu atau pembayang dan peluang sekali lagi untuk menjawab.

Mereka yang membina perniagaan dianggap beruntung jika mempunyai talian hayat. Namun lazimnya di dalam apa juga bidang perniagaan amat jarang sekali hendak menemukan talian hayat.

Sebaliknya anda boleh menemui berita-berita di akhbar ramai ahli-ahli perniagaan yang menghabiskan hayat mereka kerana mengalami kerugian. Ini bermakna setiap ahli perniagaan perlu menanggung risiko. Risikonya ialah sama ada perniagaan mereka untung atau rugi.

Senario yang sama juga berlaku di dalam dunia perniagaan internet. Perniagaan internet bukanlah skim cepat kaya. Perniagaan internet bukan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit seperti yang diharamkan oleh kerajaan baru-baru ini. Perniagaan internet sama seperti perniagaan lain di mana anda perlu menjual barang atau perkhidmatan. Cuma di sini anda menggunakan internet.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan tidak pernah dijanjikan dengan kejayaan sehingga mencapai tahap jutawan. Mereka perlu bekerja keras untuk mencapai tahap jutawan. Mereka perlu melalui pelbagai proses yang mematangkan mereka menempuhi ranjau dan dugaan. Mereka perlu menghadapi persaingan.

Realiti dunia perniagaan tradisional hari ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Hanya mereka yang berjaya mengatasi halangan, kreatif dan berinovasi sahaja biasanya akan memperolehi kejayaan.

Anda pasti bersetuju dengan jawaban saya.

“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”